Remaja pada umumnya merujuk kepada golongan manusia yang berumur 12-25 tahun. Golongan muda ini merupakan kelompok yang aktif dan sentiasa mempunyai perasaan ingin mencuba, sukakan cabaran dan suka bergaulan dengan orang lain. Sehubungan itu, generasi muda yang suka berkawan ini senang tersinggung oleh masalah sosial. Sebaliknya, jika potensi-potensi yang dimiliki digilap dan disuburkan secara fitrah serta bakat diguna scara bermanfaat, maka akan membantu dalam proses pembangunan diri, masyarakat dan negara.
“Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”. Sebagai warganegara, remaja memainkan peranan yang penting dan mesti bertanggungjawab dalam pembangunan negara. Sebelum itu, remaja perlu mempersiapkan diri untuk menjadi warga yang berguna dan menyumbang. Warga yang berguna ialah warga yang berilmu dan berketrampilan manakala warga yang menyumbang ialah warga yang memiliki sesuatu kebolehan dan kelebihan untuk disumbangkan. Oleh itu, faktor ilmu dan ketrampilan adalah penting diterokai dan dikuasai oleh remaja. Remaja dikatakan sebagai kelompok yang amat berpotensi digerakkan untuk proses pembinaan negara. Hal ini adalah kerana pada diri remaja terdapat ruang untuk menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran, wujud tenaga yang baik untuk membangunkan negara di samping semangat juang yang tinggi untuk maju. Negara yang maju dan membangun, banyak ditentukan oleh kualiti diri remaja dan kualiti ilmunya. Persoalannya, apakah sumbangan remaja terhadap negara pada zaman ini?
Dalam proses pembangunan negara, pendidikan tinggi merupakan keperluan asas pada masa kini. Dengan itu, semakin banyak remaja diberi peluang untuk menuntut pengajian di Institusi Pengajian Tinggi. Keadaan ini membolehkan remaja mendominasikan kursus-kursus kritikal dan professional. Ilmu dan kemahiran mengenai bidang masing-masing mula dikuasai oleh remaja dan ini terus menjadikan remaja terlatih, berilmu dan berketrampilan. Akhirnya, mereka akan keluar sebagai golongan professional mengikut bidang-bidang tertentu seperti doktor, akauntan, arkitek, pegawai farmasi, peguam dan sebagainya. Sumbangan-sumbangan daripada golongan professional ini amat diperlukan sebagai asas pembangunan masyarakat dan negara.
Dari segi ekonomi, remaja juga merupakan sumber tenaga kerja. Kebanyakan remaja terus melibatkan diri dalam sektor-sektor ekonomi setelah tamat pengajian di sekolah atau Institusi Pengajian Tinggi. Biasanya golongan muda ini minat menceburi dalam sektor industri, keusahawanan dan sebagainya. Remaja merupakan kelompok tenaga kerja yang dinamik dan bersemangat, mereka akan terus berusaha untuk menangani segala masalah. Jadi, sikap tidak berputus asa membolehkan mereka cepat naik pangkat atau memegang jawatan yang lebih tinggi seperti pengurus, pengarah kilang dan setiausaha. Sumbangan mereka terhadap pembangunan ekonomi cukup besar dan amat dihargai.
Bagi memajukan dan menjayakan negara, keselamatan negara mesti diutamakan. Sebagai seorang rakyat yang cinta akan negara, remaja juga telah memberi bakti dan sumbangan dengan melibatkan diri dalam pasukan keselamatan seperti kadet polis, kadet bomba dan tentera. Nilai patriotisme tertanam dalam diri remaja melalui latihan-latihan dari segi fizikal dan mental. Dengan itu, remaja bersedia untuk menjaga ketenteraman masyarakat di samping mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman luar. Kesetiaan dan kebaktian remaja terhadap negara mesti dihargai dan dihormati dengan sepenuhnya.
Selain itu, golongan belia yang aktif ini banyak menyertai persatuan-persatuan sukarela yang merupakan pertubuhan bukan kerajaan. Persatuan-persatuan tersebut telah memberi sumbangan yang agak besar terhadap masyarakat dan negara. Di antaranya terdapat Persatuan Bulan Sabit Merah yang bertujuan menyelamatkan nyawa, Persatuan Alam Sekitar yang mementingkan isu-isu alam sekitar, Persatuan Pengakap dan Pandu Puteri yang menjaga kebajikan masyarakat dan sebagainya. Dengan adanya perasaan simpati dan hati yang baik, remaja adalah sentiasa bersedia untuk menghulur bantuan kepada golongan masyarakat yang tidak bernasib baik. Contohnya orang miskin dan orang kurang upaya. Sekiranya tidak ada sumbangan daripada golongan belia ini, masyarakat tersebut mesti hidup dengan penuh kesusahan. Oleh itu, kepentingan masyarakat sering dijaga.
Boleh kita melihat bahawa remaja telah menyumbang banyak ke atas pembangunan negara. Akan tetapi remaja juga boleh menjadi tidak menyumbang ke arah pembinaan negara. Sekiranya remaja tidak menjadikan pembinaan diri atau akhlak sebagai keutamaan, ilmu-ilmu semasa sebagai fokus dan menguasai ketrampilan yang berguna sebagai landasan, kehidupan remaja dan dewasanya nanti pasti tidak menyumbang. Apatah lagi remaja yang terjebak dengan amalan ketagihan dadah, seks bebas, amalan dedonistic iaitu berseronok-seronok, ini akan menjadi beban berat dan masalah kepada negara. Oleh itu, remaja harus insaf bahawa hari ini dalam proses pembinaan negara berdepan dengan persaingan yang sengit. Kalau kesedaran in tidak wujud dalam kalangan hati remaja hari ini, ia akan mengekalkan kita sebagai bangsa pengguna dan penciplak terhadap kekuatan orang lain. Jangan terkejut akhirnya kita akan dijajah semula lagi. Sekiranya ada perasaan “yakin boleh” yang diikuti dengan komitmen yang tinggi ke arah kecemerlangan ilmu dan peribadi, asas ini bakal menjadikan remaja aset penting ke arah pembangunan negara pada masa depan.
Akhirnya, tidak ada jalan singkat untuk kita maju dan bersaing melainkan faktor bina insan yang berkualiti harus berlaku dalam kalangan remaja. Insan berkualiti tidak sahaja memiliki kecenderungan meneroka ilmu dan ketrampilan sains dan teknologi tetapi dalam masa yang sama harus teguh dalam peribadi dan teladan diri. Tidak sahaja akidah, akhlak dan ibadah kita mesti mantap tetapi faktor sains dan teknologi juga mesti dikuasai sama. Inilah asas yang amat menyumbang kepada proses pembinaan negara.
Koh Yong Kang
205137
No comments:
Post a Comment