Agama didefinasikan sebagai sistem kepercayaan yang dianuti dan tindakan suatu kelompok ataupun masyarakat dalam menginterpretasi dan memberi respon kepada apa yang dirasai dan dipercayai sebagai ghaib dan suci. Agama merupakan sistem kepercayaan yang menjadi inti pati sistem nilai dalam kebudayaan sesuatu masyarakat. Sebagai sistem kepercayaan, agama menyebarkan ajaran dan petunjuk kepada para penganutnya supaya terselamat dalam kehidupan selepas meninggal dunia. Terdapat empat tahap agama iaitu tahap rahsia, tahap peribadi, tahap kumpulan, dan tahap masyarakat. Pada tahap rahsia seseorang itu memegang ajaran agama yang dianutinya dan yang dipercayainya bagi dirinya sendiri, bukan bagi dibincangkan atau dinyatakan kepada orang lain. Pada tahap peribadi seseorang itu membincangkan atau menambahkan dan menyebarkan pengetahuan dan kepercayaan agamanya kepada sejumlah orang secara peribadi. Pada tahap kumpulan individu mempunyai kepercayaan yang sama dengan kepercayaan agama individu yang lain dalam kelompok yang besar manakala tahap masyarakat pula ialah kepercayaan agama yang sama dengan kepercayaan agama masyarakat itu. Secara keseluruhan, agama bukan sahaja kepercayaan peribadi tetapi juga pemikiran, emosi dan perasaan kelompok masyarakat yang wujud dalam pelbagai tindakan agama masyarakat. Agama juga menimbulkan pelbagai interpretasi dan kepercayaan agama bukan sahaja wujud pada tahap individu ataupun tahap sosial dan kelompok, bahkan juga pada tahap masyarakat.
Islam
Islam adalah anugerah Allah kepada manusia yang disampaikan melalui pesuruh-Nya Nabi Muhammad yang menjadi nabi dan rasul yang terakhir. Beliau adalah pemimpin agung Islam yang menjadi teladan dalam segala aspek kehidupan. Beliau adalah lambang agama Islam itu sendiri. Menurut sejarah, Nabi Muhammad dilahirkan di Mekah pada 12 Rabiul Awal tahun gajah bersamaan 20 April 570 Masihi. Nama beliau adalah Muhammad yang bererti terpuji. Bapanya Abdullah bin Abdul Mutalib dan ibunya Aminah binti Ibnu Zuwaib. Berketurunan Hasyim daripada kaum Quraisy yang menjadi cabang daripada salasilah Nabi Ismail dan Nabi Ibrahim. Nabi Muhammad adalah manusia yang terkenal dengan sikap amanah, jujur dan bertanggungjawab. Beliau tidak pernah mempercayai upacara penyembahan dan pemujaan berhala yang dijalankan oleh kaumnya. Justeru Allah memilih beliau sebagai Rasul dan Nabi bagi memerangi kemungkaran yang berleluasa di kalangan masyarakatnya. Kehidupan mereka yang dikategorikan jahiliah kerana mereka sukakan keseronokan yang menjatuhkan sifat berperikemanusiaan seperti suka membunuh bayi perempuan, minum arak, berfoya dan berzina.
Manusia memerlukan panduan dan bimbingan dalam meneruskan kehidupan. Tanpa panduan dan bimbingan, manusia menjadi sesat dan hilang arah tujuan kehidupan. Justeru Allah menurunkan wahyu-Nya kepada manusia dan rasul sebagai pembimbing manusia dalam menjalani kehidupan yang sempurna dan mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat iaitu Al-Quran dan Sunnah. Al-Quran yang menjadi kalam Allah diturunkan melalui wahyu bagi Nabi Muhammad melalui perantaraan malaikat Jibril. Ia mengandungi semua hal berkaitan agama Islam seperti perkara yang disuruh, perkara yang dilarang, kisah teladan, perkara ghaib dan sebagainya. Sunnah pula perjalanan hidup Nabi Muhammad iaitu peraturan yang diikuti oleh umat Islam berdasarkan perbuatan dan perkataan beliau yang disampaikan secara lisan kepada para sahabat. Islam adalah ad-din yang bermatlamatkan keamanan, kesejahteraan dan kebahagiaan kehidupan dunia dan akhirat.
Kristian
Berdasarkan fakta sejarah, agama Kristian mengalami proses evolusi dan pengubahsuaian yang membawa perbezaan antara ajaran Kristian yang asal dengan pengamalan masa kini. Justeru pembawa ajaran ini dibahagikan kepada dua aliran iaitu Jesus Christ dan ajaran Paulus. Agama yang dibawa oleh Jesus Christ dilihat dari tiga aspek, iaitu sebagai kepercayaan, upacara hidup dan komuniti manusia. Ketiga-tiganya berdasarkan kehidupan dan pengajaran Jesus Christ yang dipercayai oleh penganutnya sebagai anak Tuhan kerana beliau dilahirkan ke dunia tanpa bapa. Sumber utama yang menjadi rujukan penganut agama Kristian adalah Kitab Injil (Bible). Kitab ini terdiri daripada himpunan kitab-kitab yang dianggap suci yang bermaksud khabar kesukaan. Kitab Injil terdiri daripada 66 kitab besar kecil. 66 kitab ini terbahagi kepada dua iaitu Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru. Perjanjian Lama terdiri daripada 39 kitab dan surat-surat dalam bahasa Ibrani manakala Perjanjian Baru terdiri daripada 27 kitab dan surat-surat dalam bahasa Yunani. Terdapat sepuluh rukun (The Ten Commandments) dalam Bible.
Buddha
Agama Buddha adalah agama yang dianut oleh sebahagian besar penduduk Asia. Terdapat lebih daripada 500 juta penganut agama Buddha di dunia yang jumlahnya mencakupi ¼ penduduk dunia. Pengasas agama ini adalah Gautama Buddha, dilahirkan pada tahun 563 SM. Nama sebenarnya adalah Siddartha Gautama. Sejak kecil lagi Gautama meminati kehidupan bertakafur. Gautama meninggal dunia ketika berusia 80 tahun (483 SM). Ajaran-ajaran Buddha dikumpulkan oleh para pengikutnya dalam bentuk teks yang dikenali sebagai Pitaka. Ajaran-ajaran tersebut dikumpulkan dalam tiga buah Pitaka yang juga dikenali sebagai Tripitaka yang terdiri daripada Vinaya Pitaka, Sutta Pitaka dan Abhidhamma Pitaka. Terdapat empat elemen dalam Empat Kebenaran Mulia iaitu kebenaran berkenaan dukkha, kebenaran berkenaan sebab-musabab dukkha, kebenaran berkenaan penghapusan dukkha dan kebenaran berkenaan cara menghapuskan dukkha.
Hindu
Agama Hindu berusia lebih daripada 3000 tahun yang muncul pada Zaman Veda (2000 SM hingga 1000 SM) di India. Ia muncul hasil percampuran orang di Lembah Indus dengan orang Aryan. Orang Aryan dari Asia Tengah membawa bersama-sama kebudayaan dan kepercayaan mereka apabila mereka pergi ke India. Agama Hindu adalah agama yang tertua di dunia. Perkataan ‘Hindu’ berasal daripada nama Sungai Indus yang mengalir melalui India utara. Pada zaman purba, sungai Indus dikenali sebagai ‘Sindhu’. Tetapi orang yang berpindah ke India memanggil sungai itu ‘Hindu’, tanah di situ dipanggil ‘Hindustan’ dan orang di situ dikenali sebagai ‘Hindus’. Maka agama dipegang oleh Hindus dipanggil agama Hindu. Agama Hindu berdasarkan pada pengalaman bukannya kepercayaan semata-mata. Asas kepercayaan agama Hindu dikenali sebagai Panca Grada (Lima Kepercayaan) iaitu Percaya kepada Sang Hyang Widdhi, percaya kepada Atman, percaya kepada hokum Karma Phala, percaya kapada Punarbawa dan percaya kepada Moksha(syurga). Kitab Suci adalah sumber panduan bagi agama Hindu. Kitab suci dalam agama Hindu disebut sebagai Veda. Perkataan Veda berasal daripada bahasa Sanskrit yang bererti pengetahuan. Terdapat beberapa jenis Veda iaitu Rig Veda, Yajur Veda, Sama Veda dan Atharya Veda.
SITI NUR AZILAH BINTI AHMAD NASIR
205508
No comments:
Post a Comment